CHENNAI - Aktor terkenal dari selatan India, Ilayathalapathy Vijay kecewa apabila video eksklusif filem terbarunya, Puli yang akan menemui peminat pada penghujung September ini ‘bocor’ tanpa pengetahuan krew produksi.
Menurut portal Bollywood Life, Vijay juga tertekan apabila beberapa poster filem tersebut telah dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Video sepanjang 18 minit itu telah dimuat naik oleh individu yang tidak dikenali ke laman sosial YouTube yang juga telah menceritakan plot filem bajet terbesar di India itu.
Kini, rata-rata orang sudah mengetahui jalan cerita filem yang sedang dinanti-nantikan itu, kerana sebelum ini pihak produksi termasuk Vijay sendiri enggan bercerita tentang filem berkonsepkan fantasi, cinta dan sejarah itu.
Sebelum ini, trailer Puli yang baru ditayangkan beberapa bulan lalu telah ditonton lebih tujuh juta peminat di seluruh dunia.
“Saya berasa kecewa dengan insiden ini, kami telah bekerja keras untuk filem ini dan mahu memberi kejutan besar kepada semua peminat, namun ada pula ‘pengkhianat’ dalam kalangan kami yang sanggup melakukan perbuatan ini.
“Kami sudah membuat laporan polis dan berharap dapat menangkap mereka yang melakukan perbuatan tidak bermoral ini,” kata Vijay kepada sumber yang enggan dikenali.
Sementara itu, pengarah filem Puli, Chimbudeven berkata, video tersebut sepatutnya dikeluarkan pada tarikh lain bulan depan, beberapa hari sebelum tayangan Puli, namun pihak tidak bertanggungjawab tanpa mendapatkan kebenaran telah bertindak menyebarkannya di laman sosial.
Puli yang turut dibintangi Shurti Hasan, Hansika Motwani, Sri Devi dan watak antoganis adalah Sudeep. Filem itu juga akan dikeluarkan dalam tiga bahasa lain termasuk Hindi dan Telugu.
No comments:
Post a Comment