13 Aug 2015

Nur Fitri 'sakit' dan perlu pemulihan - Rohani

Nur Fitri 'sakit' dan perlu pemulihan - Rohani

PETALING JAYA: Nur Fitri Azmeer Nordin, pelajar Malaysia yang dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London kerana memiliki imej dan gambar porno kanak-kanak disifatkan sebagai seorang yang
'sakit' dan memerlukan pemulihan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pelajar tajaan Mara itu telah melakukan jenayah yang hina dan serius.

“Kita sangat terkilan dengan apa yang telah dilakukan oleh pelajar tersebut kerana ia sudah tentunya mencemarkan nama baik negara.

“Dalam aspek itu dia sakit. Dia perlukan bantuan dan perlu menjalani pemulihan, kaunseling, rawatan dan pemerhatian psikiatri," katanya dan menambah pelajar itu tidak boleh dibiarkan bebas dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan buku program 'Mcdonald's Happy Meal' di premis Mcdonald's, Kota Damansara di sini hari ini.

Rohani berkata kementeriannya sanggup memulihkan Nur Fitri Azmeer, 23.

"Kita mempunyai kanunselor terlatih. Ia bukan sahaja untuk Nur Fitri (Azmeer) tetapi buat keluarganya yang juga trauma," katanya.

Pelajar Imperial College London itu dijatuhkan hukuman setelah mengaku bersalah atas 17 kesalahan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Dia akan dihantar pulang ke Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.

Mengenai penggunaan tempat duduk bayi dalam kereta bagi mengelak kematian bayi semasa kemalangan, Rohani berkata kementerinnya mengalakkan ibu bapa menyediakan sekurang-kurangnya satu tempat duduk bayi.

"Kita perlu ambil iktibar daripada apa yang berlaku baru-baru ini (kemalangan di Lebuhraya DUKE dan Lebuhraya Utara-Selatan di Johor Baharu). Kita labur sekali sahaja untuk beli satu tempat duduk kanak-kanak dan selepas itu ia boleh digunakan turun temurun untuk anak-anak yang lain," katanya.


Beliau berkata walaupun belum terdapat undang-undang atau peraturan mengenainya, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka.

Mengenai program Happy Meal itu, katanya ia adalah usaha baik untuk menggalakkan anggota keluarga untuk bersama dan menikmati keseronokan membaca.

Keputusan rayuan kes bukan Islam layak beramal sebagai peguam syarie diputuskan kelak

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peguam bukan Islam layak beramal sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, akan diumumkan pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ia setelah panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif meneliti hujah yang telah diberikan oleh kedua-dua belah pihak.

MAIWP diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhasan manakala peguam Datuk Cyrus Dass dan Ranjit Singh mewakili responden, Victoria Jayaseele Martin.

Martin, 53 tahun, yang merupakan lepasan Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan namun Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dengan mengisytiharkan bahawa Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 yang menyebut hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie adalah bercanggah dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.


Seksyen 59 akta tersebut menetapkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syarak boleh diterima menjadi Peguam Syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Syariah.

Bersih 4: Tindakan tegas akan diambil jika ganggu ketenteraman awam - Polis

KUALA LUMPUR: Polis hanya akan bertindak sekiranya sesuatu perhimpunan yang diadakan menyalahi undang-undang negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tiada masalah sekiranya perhimpunan yang ingin diadakan bersifat aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Kalau kamu nak buat perhimpunan aman, kamu boleh buat sebab perhimpunan ada macam-macam kategori yang melibatkan pelbagai seksyen perundangan.

"Kamu kena ingat, bila perhimpunan tersebut mula mengganggu orang awam, halang orang awam, keluarkan kata-kata yang menyakiti hati orang awam, maka ini telah menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam.

"Apa juga tindakan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menguruskannya," katanya ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan Kontinjen/ Daerah Terbaik Op Selamat 7/2015 di sini hari ini.

Tambah beliau, cara polis mengurus situasi tersebut bergantung kepada keadaan.

Malah, beliau turut menegaskan sekiranya perhimpunan yang ingin diadakan menjurus kepada perkara yang memudaratkan ketenteraman awam, mahupun percubaan menjatuhkan kerajaan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang terbabit.

Semalam, pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan pihak polis dalam isu keselamatan pada Pesta Demokrasi Bersih 4 yang dijadual pada 29 sehingga 30 Ogos ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar Khalid sebelum ini memberi peringatan kepada penganjurdan peserta Perhimpunan Bersih 4 agar mengikut saluran yang betul untuk membuat demonstrasi jalanan.


Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga pernah berkata, demonstrasi yang akan dianjurkan Bersih 2.0 pada hanya menimbulkan kekalutan di Kuala Lumpur.

Nikah gantung, Iqram Dinzly kini bergelar suami?

Pelakon Iqram Dinzly pada Sabtu, telah mengejutkan ramai pihak apabila dia memuat naik beberapa keping foto pernikahannya dengan seorang gadis.

Menerusi foto yang dikongsi di akaun Instagramnya itu, ada beberapa hashtag (#) yang digunakan bersama kapsyen yang ditulis Iqram.

Pelakon berusia 32 tahun itu telah menulis kapsyen, “Alhamdulillah.. Dengan sekali lafaz. #aamiiiin *maafkandakuatasrahsiaini,jangan jadikaniadendamsemalamitu. #married #nikahgantung #miracle”.

Foto tersebut menunjukkan tangan Iqram sedang dicium oleh seorang wanita di hadapan sebuah pelamin.


Perkongsian tersebut telah mendapat lebih 4 ribu likes, 174 komen (ketika artikel ini ditulis) serta ucapan tahniah daripada pengikut Iqram yang kebanyakannya terkejut dengan berita pernikahan tersebut.


Bagaimanapun, dua jam selepas itu Iqram memuat naik sekeping lagi foto dia dan ‘isteri’ bersama ibu dan bapa mertua serta ‘iparnya’.




Pada foto tersebut Iqram telah meletakkan kapsyen “Bergambar kenangan dengan mentua & ipar , selepas sah #dendamsemalam #azalea”.
Akhirnya debaran para peminat terjawab apabila melihat pada (#) digunakan Iqram dan selepas diamati dengan teliti, wanita bertuah yang ‘dikahwininya’ itu ialah pendatang baru Adibah Yunus, mertuanya pelakon Kuza dan Esma Daniel manakala iparnya pula Azwan Kombos.

Rupanya-rupanya foto tersebut merupakan salah satu adegan dalam drama berjudul ‘Dendam Semalam’ yang akan ditayangkan di slot televisyen tempatan. -Astro Gempak

http://www.astroawani.com/berita-hiburan/nikah-gantung-iqram-dinzly-kini-bergelar-suami-48046

Harga ubat mungkin akan naik - Menteri Kesihatan

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga ubat kesan daripada kejatuhan ringgit.

Menurutnya, kenaikan akan disaksikan dalam sektor swasta memandangkan kebanyakan ubat ubatan diimport dari luar Negara.

Subramaniam bagaimanapun memberi jaminan bahawa hospital dan klinik kerajaan akan terus memberikan ubatan secara percuma.

"Kemungkinan harga ubat akan naik kerana ada yang kita import dari luar malah ubatan yang dihasilkan di Malaysia turut menggunakan bahan mentah dari luar negara. Namun keadaan itu hanya sementara waktu sahaja, (apabila) nilai ringgit pulih, harga akan jadi seperti biasa.

"Kerajaan akan terus memberikan ubat secara percuma, tetapi bagi hospital dan klinik swasta harga akan berubah,” kata Subramaniam yang ditemui selepas merasmikan penutupan Konvensyen Kebangsaan Kelab Doktor Muda kali ke-enam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada Khamis.

Pada masa yang sama, Subramaniam menasihatkan pihak berkenaan agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ubat secara sewenang-wenangnya.

“Saya berharap semua pihak dapat bekerjasama dan tidak terlampau membebankan pesakit dalam keadaan begini,” tegasnya.

Dalam pada itu, hospital swasta mengakui kejatuhan nilai ringgit memaksa perkhidmatan perubatan mengurangkan margin keuntungan mereka sehingga 30 peratus.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, harga ubat-ubatan terpaksa dikekalkan demi mengurangkan bebanan yang ditanggung pelanggan.

Antara yang merasa kesan akibat nilai ringgit adalah Pusat Perubatan Pakar Putra (PSH).

Peningkatan harga ubat dijangka lebih dirasai penghujung tahun ini.

Pada 5 petang Rabu, mata wang ringgit ditutup rendah pada RM4.04 berbanding dolar AS daripada RM3.96 pada Selasa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...