KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan bakat yang dimiliki penyanyi kelahiran Malaysia, Shila Amzah.
Pemilik nama penuh Nurshahila binti Amir Amzah ini mula mencipta kerjaya di persada seni tanah air namun melebarkan sayapnya sehingga ke persada antarabangsa.
Shila berhijrah ke China pada tahun 2012 untuk mengembangkan bakatnya. Beliau terpilih untuk menyertai pertandingan nyanyian anjuran sebuah stesen televisyen di Hunan.
Peluang itu sekaligus dijadikan batu loncatan buat gadis berusia 24 tahun ini.
Ketahui 10 sebab mengapa Shila Amzah amat popular di China:
1 - Pada mulanya, Shila tidak tahu berbahasa Mandarin. Namun beliau mempelajari bahasa pertuturan itu agar memudahkannya berkomunikasi selain membuatkan dirinya dianggap serius ketika bertanding.
2 - Shila menawan hati peminat menerusi dendangan tersendirinya terhadap lagu ‘The Night I Was Missing You’. Para peminat menyatakan loghat yang dinyanyikan seakan-akan seorang yang bertutur Mandarin sejak kecil.
3 - Sedang mempelajari bahasa Kantonis agar dapat mengorak langkah ke dunia seni Hong Kong.
4 - Mula mendapat perhatian peminat cilik apabila terpilih menjadi mentor bagi sebuah rancangan televisyen kanak-kanak berjudul Let's Sing, Kids, pada tahun 2014.
5 - Mempunyai hubungan baik dengan media cina dan antarabangsa. Konflik dengan media tempatan yang berlarutan menyebabkan Shila kurang mendapat liputan di Malaysia.
6 - Mempunyai jumlah pengikut yang ramai apabila lebih 2.5 juta peminat berdaftar di Weibo, iaitu sebuah laman mikro blog yang popular di China.
7 - Perpindahan ke China membuatkan penyanyi yang berasal dari Setapak ini bekerja lebih keras untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang disegani.
8 - Dinobatkan anugerah istimewa oleh kerajaan China atas sumbangan khasnya dalam mengeratkan perhubungan di antara Malaysia dan China.
9 - Diangkat menjadi duta budaya setelah Shila menghiburkan presiden China, Xi Jinping semasa lawatannya ke Malaysia pada Oktober 2013.
10 - Meskipun mempunyai bapa yang juga seorang penyanyi popular satu ketika dahulu, Shila berjaya membuang bayangan bapanya lantas mencipta imej tersendiri.