2 Sept 2015

Gelaran Dato' anak TPM pula jadi perdebatan

Gelaran Dato' anak TPM pula jadi perdebatan
KUALA LUMPUR: Belum pun reda isu kritikan beliau terhadap peserta Perhimpunan Bersih, nama Nurulhidayah Ahmad Zahid terus menjadi topik perbualan warga media sosial.

Terbaharu, status dan gelaran Dato' yang dibawanya mula menjadi persoalan ramai.

Semuanya bermula apabila beberapa laman Facebook memuat naik gambar Nurul sedang ditemu ramah sebuah stesen televisyen dengan nama beliau terpapar di skrin. Dalam paparan itu, nama Nurul didahului dengan gelaran Dato'.

Netizen kebanyakan mempersoalkan fakta bagaimana gelaran Dato' seharusnya diberi seiring dengan sumbangan.

Menurut laporan beberapa portal media, Nurul adalah Ketua Komunikasi Bahagian Korporat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan merupakan graduan Universiti Putra Malaysia. Beliau juga aktif dalam Askar Wataniah.

Tarikh pilihan raya negeri Sarawak telah ditetapkan - Adenan Satem

Tarikh pilihan raya negeri Sarawak telah ditetapkan - Adenan Satem

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini memaklumkan bahawa beliau telah pun menetapkan tarikh pilihan raya negeri Sarawak yang ke-11.

Justeru, ia memberi petunjuk bahawa pilihan raya negeri itu berkemungkinan akan diadakan lebih awal, namun tarikhnya sebenar tidak dinyatakan.

Menurut laporan Bernama pada Jumaat, Adenan dengan nada ceria memberitahu pemberita bahawa tarikh tersebut telah ditetapkan "tetapi tidak mahu nyatakan bila."

Tambah beliau lagi, sebahagian besar calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri itu telahpun dimuktamadkan.

Adenan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibarkan Jalur Gemilang anjuran Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Kuching hari ini.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 2011 dan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa yang mempunyai 71 kerusi akan berakhir menjelang Jun tahun depan.

Beberapa bulan sebelum ini, Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional telah banyak meninggalkan petunjuk bahawa pilihan raya negeri bakal diadakan sebelum penggal DUN itu berakhir.

Beliau juga berharap rakyat dapat terus memilihnya untuk terus berkhidmat sebagai Ketua Menteri untuk penggal yang seterusnya.

Sementera itu, beliau berkata kerajaan negeri Sarawak memberi lampu hijau kepada penganjur Bersih 4 untuk mengadakan perhimpunan yang dirancang itu di padang Song Kheng Hai esok.

Sehubungan itu, Adenan menasihati peserta perhimpunan agar mengekalkan cara Sarawak melaksanakan segala urusan dengan lancar dan aman.

Diminta mengulas kemungkinan penjawat awam menyertai perhimpunan itu, beliau berkata "Saya serahkan kepada individu terbabit. Kalau mereka kena tangkap, saya tak tahu... kami akan menimbangkan (tindakan) kalau itu yang berlaku," katanya.

Wujudkan kesatuan sekerja MAB serta merta - MTUC

Wujudkan kesatuan sekerja MAB serta merta - MTUC
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kesatuan sekerja bagi syarikat penerbangan baru, Malaysia Airlines Berhad (MAB) diwujudkan serta merta.

Setiausaha Agung MTUC, Gopal Krishnam berkata penubuhan kesatuan sekerja nasional MAB dapat menjamin kebajikan kakitangan syarikat penerbangan nasional yang baru itu.

Gopal berkata ia adalah tempoh yang paling sesuai bagi pekerja MAB untuk mewujudkan kesatuan pekerja dan menekankan langkah ini mampu melindungi pekerja jika mereka berdepan dengan situasi perubahan pengurusan dan sebagainya.

"Saya berasa ini adalah masa yang tepat bagi pekerja untuk mewujudkan kesatuan sekerja kebangsaan.

"Ia adalah satu-satunya cara jika ada perubahan pada pengurusan, mereka boleh dilindungi melalui kesatuan ini," kata Gopal dalam satu temubual bersama Astro AWANI.

Sementara itu katanya, pembubaran Kesatuan pekerja Malaysian Airlines System (MASEA) selepas pengambilalihan MAB adalah tidak wajar.

"Ia adalah satu kesalahan kepada Kesatuan Sekerja MAS yang memilih untuk dibubarkan ketika banyak isu masih belum selesai," katanya.

Syarikat penerbangan MAB memulakan operasinya pada 1 September 2015 selepas selesai fasa penstrukturan semula syarikat menerusi pengurangan jumlah kakitangan kepada 14,000 berbanding 20,000 sebelumnya.

Di bawah pengurusan baru ini, kesatuan sekerja kakitangan MAB masih belum diwujudkan.

`Tu dia...Mak Ngah kami’

Kuala Lumpur: `My neighbour the beloved Mak Ngah decided to bake us Brownie cake for Chinese New Year. Mak Ngah has a very special relationship with us...’

Itulah antara ayat yang dimuatnaik oleh Tai Zee Kin, 27, di akaun Facebook miliknya, pada 9.34 pagi, hari ini, mengenai jirannya, Nariman Ahmad, 62, atau mesra dipanggil Mak Ngah.

Foto yang memaparkan Mak Ngah menyerahkan kek brownie kepada Tai menerima ‘like’ daripada 9,422 pengguna Facebook.

Tai ketika dihubungi di Sungai Petani, berkata: “Susah nak dapat jiran seperti Mak Ngah. Bukan saja baik, tapi Mak Ngah buat kami terasa seperti keluarga sejak kami berpindah ke Taman Patani Jaya Sungai Petani, hampir 20 tahun lalu.

“Mak Ngah bukan saja ringan tulang malah perwatakannya mudah mesra tidak kira bangsa dan agama. Ia membuatkan kami selesa dengannya.”

Menceritakan pengalamannya, Tai yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu, berkata sejak usianya masih kecil, Mak Ngah sudahpun menyediakan nasi lemak untuk bekalannya ke sekolah.

“Kegemaran Mak Ngah adalah memasak. Apa saja yang dia masak, kami juga akan dapat merasanya. Antara masakan menjadi kegemaran saya sekeluarga adalah lontong dan rendang,” katanya.

Tai sekeluarga sebelum ini menetap di ibu negara dan Pulau Pinang namun selepas berpindah ke Sungai Petani, Kedah, iaitu ketika usianya lapan tahun, pelbagai perkara diperoleh dan dipelajari daripada jirannya itu.

Menurutnya, Mak Ngah dan suami, Mohd Idris Rei, 63, banyak mendedahkan dirinya dengan budaya, adat dan masakan tradisional masyarakat Melayu.

“Kalau ada kenduri kahwin masyarakat Melayu, Mak Ngah akan membawa saya dan adik beradik lain bersama mereka. Ia mengeratkan lagi perpaduan antara kaum. Apabila kami tiada di rumah, Mak Ngah dan suaminya akan tolong mengawasi kediaman supaya berlaku sesuatu tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Mak Ngah ketika dihubungi berkata: “Saya memang suka memasak.”

Menurutnya, perlu ada sikap menghormati antara satu dengan lain tidak kira bangsa dan agama untuk erat silaturahim.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu hati dan tidak bermusuhan. Tak kira sama ada Melayu, Cina dan India. Ini kerana jika sesuatu perkara berlaku pada kita nanti, mereka jugalah yang akan membantu,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31819#sthash.L3Q69ODx.dpuf

Datuk Seri kena bedil

Kuala Lumpur: Seorang Datuk Seri cedera selepas kenderaan pelbagai guna yang dinaiki bersama dua pengawal peribadi ditembak lebih 8 das oleh dua lelaki menaiki motosikal di Bulatan Loke Yew, Cheras, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, ahli perniagaan itu dikatakan mengalami kecederaan pada tangan kiri, kaki dan kepala kerana terkena serpihan cermin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal itu menembak dari atas laluan bertingkat ketika kenderaan dinaiki mangsa berhenti kerana kesesakan lalu lintas di bulatan itu.

"Saksi kejadian memberitahu kedua-dua suspek memakai topeng muka melarikan diri sejurus seorang daripadanya melepaskan tembakan.

"Pengawal peribadi mangsa yang memandu kenderaan itu kemudiannya memandu ke Balai Polis Cheras yang terletak berhampiran lokasi sebelum mereka membuat laporan polis," katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan pada cermin bahagian penumpang belakang dan bumbung kenderaan.

"Motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74780#sthash.zlgFcHCa.dpuf
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...