3 Sept 2015

APMM Sarawak tahan empat bot, 35 nelayan asing

KUCHING: Op Orion Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menahan empat bot dan 35 nelayan warga Thailand dan Vietnam sepanjang empat hari operasi, bermula 28 Ogos lalu.

Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Sarawak (Wilsar), Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata tiga bot nelayan itu milik rakyat tempatan manakala sebuah lagi milik nelayan Vietnam.

Menurutnya APMM menggunakan lapan kapal dalam operasi itu, termasuk KM Marlin dan KM Satria dari APMM Lumut, sebuah pesawat Bombardier dari Stesen Udara Maritim Subang dengan kekuatan 140 anggota.

"Pada 28 Ogos, kapal KM Cekal menahan sebuah bot nelayan pada kedudukan 130 batu nautika dari Tanjung Sirik dan menahan lapan warga Thailand.

"Pada hari yang sama, kapal KM Bijak menahan sebuah bot dan menahan sembilan warga Thai termasuk tekong," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismaili berkata kedua-dua bot nelayan tempatan itu ditahan kerana melakukan kesalahan syarat sah lesen mengikut Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, pada 29 Ogos lepas, KM Marlin menahan sebuah bot nelayan asing dari Vietnam kira-kira 63 batu nautika dari Tanjung Sirik serta menahan sembilan nelayan rakyat negara itu.

"Pada hari keempat operasi, KM Rhu pula berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan di Tanjung Payung bersama sembilan nelayan warga Thai.

Beliau berkata, kedua-dua bot nelayan itu ditahan kerana melanggar syarat lesen bot mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya, Op Orion itu bertujuan membanteras serta menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan Sarawak, isu yang diberi perhatian serius oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.


"Bagi tempoh Januari hingga semalam, APMM Wilsar berjaya membuat 54 tangkapan.

"Daripada jumlah itu, 11 kes telah selesai dengan jumlah kompaun RM24,800 dan jumlah lelongan sebanyak RM26,012, manakala lelongan minyak sebanyak RM10,780," katanya.


Laporan akhir persempadanan semula PRN Sarawak dibentang di Dewan Rakyat, Oktober - Nancy


Laporan akhir persempadanan semula PRN Sarawak dibentang di Dewan Rakyat, Oktober - Nancy
Penambahan 11 kerusi (DUN) baharu itu akan menjadikan keseluruhannya, 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada P-R-N Sarawak ke-11 nanti. - Gambar Fail

Laporan akhir persempadanan semula bahagian pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata pembentangan laporan itu bagi membolehkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu diwujudkan, mendapat kelulusan Parlimen dan diwartakan.

"11 lagi kerusi di negeri Sarawak telah diluluskan dan proses selanjutnya ialah di pihak Parlimen. Jadi ini akan dibentangkan di Parlimen dan apabila sudah mendapat kelulusan di Parlimen, Ketua Menteri Sarawak boleh menjalankan tugas beliau untuk menentukan tarikh pilihan raya negeri.

"Penambahan 11 kerusi (DUN) baharu itu akan menjadikan keseluruhannya, 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada P-R-N Sarawak ke-11 nanti," katanya selepas menghadiri mesyuarat wanita Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Nancy yang juga Setiausaha Wanita BN Sarawak berkata sayap itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN nanti.

Minggu lepas, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memaklumkan, bahawa beliau telah menetapkan tarikh bagi PRN ke-11.

Justeru, ia memberi petunjuk bahawa pilihan raya negeri itu berkemungkinan akan diadakan lebih awal, namun tarikhnya sebenar tidak dinyatakan

Mandat bagi Kerajaan Negeri Sarawak sekarang akan tamat 20 Jun 2016.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Ogos mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching membatalkan notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Mahkamah Rayuan Hakim Mohd Zawawi Salleh berkata, rayuan SPR diterima selepas keterangan oleh ADUN DAP Batu Lintang See Chee How yang mewakili dirinya sendiri dan pengundi di Ulu Baram, Pauls Baya ditolak.

Najib minta penduduk Sarawak ambil langkah berjaga-jaga

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penduduk di Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak masalah kesihatan susulan kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan di negeri itu.

"Ambil langkah berjaga-jaga dan kurangkan aktiviti luar bagi elak daripada masalah kesihatan," katanya dalam catatan di laman Twitternya.

Sehingga 7 malam ini, tiga kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman, Samarahan dan Kuching mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Sri Aman merekodkan bacaan IPU 124; Samarahan (121) dan Kuching (113). 

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

12 kawasan catat IPU tidak sihat

Dua belas kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 setakat 9 pagi ini.



Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), situasi itu berlaku di dua kawasan di Kedah iaitu Alor Setar dengan bacaan 118 dan Bakar Arang (Sungai Petani) 105.

Selain itu, bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (105); Perak merangkumi Kampung Air Putih, Taiping (104), SK Jalan Pegoh, Ipoh (104) dan Seri Manjung (105); Kangar, Perlis (106); dan Seberang Jaya 2, Perai di Pulau Pinang (101). 

Situasi sama turut dikesan di Selangor meliputi Banting (102), Pelabuhan Klang (109), Shah Alam (108) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (113).

Kawasan lain di seluruh negara mencatat bacaan IPU baik dan sederhana. IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...