22 Aug 2015

Tambah wang kertas RM10 di mesin ATM

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Pihak bank ti­dak akan mengalami sebarang kerugian sekiranya menambah jumlah wang kertas RM10 di dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) malah dapat meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap sistem bank di negara ini.
Azih Muda

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, perkara tersebut diharap akan menerima maklum balas positif daripada institusi bank demi kebaikan semua lapisan masyarakat.

“Sebelum ini CUEPACS pernah melontarkan pandangan yang sama, namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berkenaan, seolah-olah suara rakyat tiada erti dan tidak didengari.

“Saya sangat bersimpati dengan sesetengah pengguna yang mengalami kesulitan untuk mengeluarkan wang tunai memandangkan jumlah simpanan tidak melebihi RM50 pada waktu itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini menerusi ruangan Awang Selamat berkongsi kisah empat beranak iaitu suami, isteri dan dua anak kecil menaiki motosikal meredah hujan untuk ke bank bagi mengeluarkan wang tunai menerusi mesin ATM, baru-baru ini.

Malangnya, si suami merasa amat kecewa apabila mesin ATM itu tidak mempunyai wang kertas RM10 sebaliknya hanya boleh mengeluarkan wang kertas RM50 sedangkan baki simpanannya tidak mencukupi.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Gabungan Persatuan-persa­tuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, adalah wajar sekiranya pihak bank menambah jumlah wang tunai kertas RM10 bagi mengelakkan sebarang kesulitan dialami masyarakat.

Beliau berkata, kebiasaannya pengguna akan mengeluarkan wang mengikut keperluan, namun kekurangan RM10 memaksa mereka mengambil wang melebihi yang sepatutnya.

“Masalah ini perlu diberi perhatian yang serius sekiranya mahu menggalakkan orang ramai menggunakan mesin ATM. Kesulitan yang dialami mungkin menjejaskan penggunaan mesin ATM dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, sekiranya jumlah wang kertas RM10 ditambah dalam mesin ATM, kesukaran masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan pelajar untuk mengambil wang melalui mesin ATM dapat diatasi,” katanya.

- See more at: 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...