27 Aug 2015

LUNDU LEBIH PESAT

LUNDU: Daerah Lundu akan dibangun lebih pesat dengan pelaksanaan banyak projek besar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Jelasnya, antara projek besar bakal disaksi penduduk ialah pembinaan Tebingan Sematan.

“Projek besar sudah tiba di Lundu. Saya hendak membuat tebingan untuk Sematan. Sematan sebenarnya cantik jika dibuat betul-betul, begitu juga Lundu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek menaik taraf Jalan Pantai Pandan ke Kampung Belungei dan Pugu di sini, semalam.

Selain itu, Adenan berkata projek besar akan dibawa ke Sematan dan Lundu ialah Lebuh Raya Pan Borneo, Kolej Matrikulasi, Sekolah Teknikal Yayasan Sarawak termasuk Jalan Pantai Pandan ke Kampung Belungei dan Pugu serta banyak lagi.

“Ini akan membuka kawasan kita dan memberi impak kepada ekonomi masyarakat di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata pembinaan Jalan Pantai Pandan ke Kampung Belungei dan Pugu antara langkah kerajaan negeri membangunkan kawasan luar bandar.

“Inilah langkah kerajaan kita supaya menjelang tahun 2030 nanti penduduk di luar bandar mampu menikmati apa sahaja pembangunan seluruh negeri dan negara,” katanya.

Menurut Manyin, projek menaik taraf Jalan Pantai Pandan ke Kampung Belungei dan Pugu sepanjang 11.7 kilometer ke standard R3 menelan kos kira-kira RM60 juta.

Selain itu, turut dilaksana ialah naik taraf tiga jambatan kayu sedia ada.

Terdahulu, Manyin memberitahu kerajaan dalam tempoh sebulan ini telah melancarkan beberapa projek besar iaitu Jambatan Long Lama bernilai lebih RM100 juta, Jambatan Bako bernilai RM70 juta serta naik taraf Jalan Stephen Yong bernilai RM80 juta.

Malah, katanya, projek pembangunan luar bandar kini turut dilaksana di Limbang, Sibuti dan Ulu Pakan.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil dan Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...