13 Aug 2015

Bersih 4: Tindakan tegas akan diambil jika ganggu ketenteraman awam - Polis

KUALA LUMPUR: Polis hanya akan bertindak sekiranya sesuatu perhimpunan yang diadakan menyalahi undang-undang negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tiada masalah sekiranya perhimpunan yang ingin diadakan bersifat aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Kalau kamu nak buat perhimpunan aman, kamu boleh buat sebab perhimpunan ada macam-macam kategori yang melibatkan pelbagai seksyen perundangan.

"Kamu kena ingat, bila perhimpunan tersebut mula mengganggu orang awam, halang orang awam, keluarkan kata-kata yang menyakiti hati orang awam, maka ini telah menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam.

"Apa juga tindakan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menguruskannya," katanya ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan Kontinjen/ Daerah Terbaik Op Selamat 7/2015 di sini hari ini.

Tambah beliau, cara polis mengurus situasi tersebut bergantung kepada keadaan.

Malah, beliau turut menegaskan sekiranya perhimpunan yang ingin diadakan menjurus kepada perkara yang memudaratkan ketenteraman awam, mahupun percubaan menjatuhkan kerajaan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang terbabit.

Semalam, pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan pihak polis dalam isu keselamatan pada Pesta Demokrasi Bersih 4 yang dijadual pada 29 sehingga 30 Ogos ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar Khalid sebelum ini memberi peringatan kepada penganjurdan peserta Perhimpunan Bersih 4 agar mengikut saluran yang betul untuk membuat demonstrasi jalanan.


Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga pernah berkata, demonstrasi yang akan dianjurkan Bersih 2.0 pada hanya menimbulkan kekalutan di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...