13 Aug 2015

Keputusan rayuan kes bukan Islam layak beramal sebagai peguam syarie diputuskan kelak

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peguam bukan Islam layak beramal sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, akan diumumkan pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ia setelah panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif meneliti hujah yang telah diberikan oleh kedua-dua belah pihak.

MAIWP diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhasan manakala peguam Datuk Cyrus Dass dan Ranjit Singh mewakili responden, Victoria Jayaseele Martin.

Martin, 53 tahun, yang merupakan lepasan Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan namun Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dengan mengisytiharkan bahawa Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 yang menyebut hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie adalah bercanggah dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.


Seksyen 59 akta tersebut menetapkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syarak boleh diterima menjadi Peguam Syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Syariah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...