9 Sept 2015

Isteri dedah permintaan terakhir Allahyarham Harun Salim Bachik



Isteri kepada pelawak Allahyarham Harun Salim Bachik, Suriati Mohd Nor menjelaskan suaminya ada membuat permintaan yang terakhir sebelum disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas bulan Mac yang lalu.

Menurut Suriati, arwah Harun Salim Bachik kuat makan dan sempat membuat permintaan hanya mahu makan masakan isterinya sahaja.

“Apa yang saya ingat, Allahyarham agak berselera untuk makan sehingga saya sempat bergurau seronoknya tidak perlu masak di rumah. Hari-hari kami sekeluarga boleh makan di luar.

“Tetapi arwah tidak mahu makan di luar, dia mahu makanan yang dimasak oleh saya sendiri,” jawab Suriati sewaktu majlis doa selamat Allahyarham Harun Salim Bachik di Surau Al-Mutmainnal, Kuala Lumpur.

Tambah Suriati, ramai di kalangan rakan dan peminat tidak tahu Allahyarham Harun Salim Bachik seringkali terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

“Ramai yang ingat arwah Abang Harun sihat walafiat, hakikatnya dia seringkali terpaksa lakukan rawatan lanjut di hospital kerana penyakkit asma yang kronik. Kadang-kadang dia terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan tetapi dia tidak suka kami war-warkan kepada umum.

“Jika dia kena tahan di hospital, arwah suka sangat lari dan tidak mahu tinggal lama di hospital kerana tidak mahu terlalu memikirkan soal sakit,” ujar Suriati.

Jelas Suriati lagi, semenjak ketiadaan Allahyarham suaminya mereka memberi kesan mendalam terhadap mereka sekeluarga.

“Sejak pemergian Allahyarham Harun Salim Bachik, ianya memberi kesan kepada kami sekeluarga sehingga kami bakal berpindah balik ke kampung di Kedah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Suriati turut mengakui Allahyarham cukup teruja dan sering berkongsi perasaan seronoknya di Facebook mengenai filem terakhir lakonannya, Polis Evo.

“Arwah Abang Harun sangat teruja dan seronok apabila bercerita mengenai filem Polis Evo kerana dia berpeluang untuk memegang watak seorang anggota polis berpangkat besar dalam institusi kepolisan negara.

“Malah dia ada berkongsi pelbagai cerita mengenai filem tersebut menerusi laman Facebook miliknya,” jelasnya lagi mengakhiri perbualan.

Allahyarham Harun Salim Bachik meninggal dunia dipercayai mengalami sesak nafas ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol (Selatan), Perak pada 8 Mac yang lalu.

Filem Polis Evo merupakan naskah terakhir Harun Salim Bachik sebelum beliau pergi buat selamanya. Menerusi filem arahan Ghaz Abu Bakar, Allahyarham Harun Salim Bachik memegang watak sebagai ASP Mokthar yang bertugas di negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...