3 Sept 2015

Laporan akhir persempadanan semula PRN Sarawak dibentang di Dewan Rakyat, Oktober - Nancy


Laporan akhir persempadanan semula PRN Sarawak dibentang di Dewan Rakyat, Oktober - Nancy
Penambahan 11 kerusi (DUN) baharu itu akan menjadikan keseluruhannya, 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada P-R-N Sarawak ke-11 nanti. - Gambar Fail

Laporan akhir persempadanan semula bahagian pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata pembentangan laporan itu bagi membolehkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu diwujudkan, mendapat kelulusan Parlimen dan diwartakan.

"11 lagi kerusi di negeri Sarawak telah diluluskan dan proses selanjutnya ialah di pihak Parlimen. Jadi ini akan dibentangkan di Parlimen dan apabila sudah mendapat kelulusan di Parlimen, Ketua Menteri Sarawak boleh menjalankan tugas beliau untuk menentukan tarikh pilihan raya negeri.

"Penambahan 11 kerusi (DUN) baharu itu akan menjadikan keseluruhannya, 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada P-R-N Sarawak ke-11 nanti," katanya selepas menghadiri mesyuarat wanita Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Nancy yang juga Setiausaha Wanita BN Sarawak berkata sayap itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN nanti.

Minggu lepas, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memaklumkan, bahawa beliau telah menetapkan tarikh bagi PRN ke-11.

Justeru, ia memberi petunjuk bahawa pilihan raya negeri itu berkemungkinan akan diadakan lebih awal, namun tarikhnya sebenar tidak dinyatakan

Mandat bagi Kerajaan Negeri Sarawak sekarang akan tamat 20 Jun 2016.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Ogos mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching membatalkan notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Mahkamah Rayuan Hakim Mohd Zawawi Salleh berkata, rayuan SPR diterima selepas keterangan oleh ADUN DAP Batu Lintang See Chee How yang mewakili dirinya sendiri dan pengundi di Ulu Baram, Pauls Baya ditolak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...