2 Sept 2015

Tarikh pilihan raya negeri Sarawak telah ditetapkan - Adenan Satem

Tarikh pilihan raya negeri Sarawak telah ditetapkan - Adenan Satem

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini memaklumkan bahawa beliau telah pun menetapkan tarikh pilihan raya negeri Sarawak yang ke-11.

Justeru, ia memberi petunjuk bahawa pilihan raya negeri itu berkemungkinan akan diadakan lebih awal, namun tarikhnya sebenar tidak dinyatakan.

Menurut laporan Bernama pada Jumaat, Adenan dengan nada ceria memberitahu pemberita bahawa tarikh tersebut telah ditetapkan "tetapi tidak mahu nyatakan bila."

Tambah beliau lagi, sebahagian besar calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri itu telahpun dimuktamadkan.

Adenan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibarkan Jalur Gemilang anjuran Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Kuching hari ini.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 2011 dan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa yang mempunyai 71 kerusi akan berakhir menjelang Jun tahun depan.

Beberapa bulan sebelum ini, Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional telah banyak meninggalkan petunjuk bahawa pilihan raya negeri bakal diadakan sebelum penggal DUN itu berakhir.

Beliau juga berharap rakyat dapat terus memilihnya untuk terus berkhidmat sebagai Ketua Menteri untuk penggal yang seterusnya.

Sementera itu, beliau berkata kerajaan negeri Sarawak memberi lampu hijau kepada penganjur Bersih 4 untuk mengadakan perhimpunan yang dirancang itu di padang Song Kheng Hai esok.

Sehubungan itu, Adenan menasihati peserta perhimpunan agar mengekalkan cara Sarawak melaksanakan segala urusan dengan lancar dan aman.

Diminta mengulas kemungkinan penjawat awam menyertai perhimpunan itu, beliau berkata "Saya serahkan kepada individu terbabit. Kalau mereka kena tangkap, saya tak tahu... kami akan menimbangkan (tindakan) kalau itu yang berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...