19 Aug 2015

Mayat rentung, pesawat terbakar

Jayapura: Tiada seorang pun daripada 49 penumpang dan lima anak kapal pesawat ATR42-300 milik Trigana Air Service terselamat selepas pesawat itu musnah kerana melanggar gunung di timur Papua.

Pasukan penyelamat yang sampai ke lokasi nahas lewat pagi tadi melalui laluan darat mendapati pesawat berkenaan berkecai dan ada kesan terbakar.

Pengarah Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesi, Henry Bambang Soelistyo, berkata pesawat itu musnah sepenuhnya manakala mayat terbakar menyebabkan ia sukar dikenal pasti.

“Berdasarkan keadaan itu tiada peluang sesiapa pun terselamat,” katanya.

Menurutnya, semua 53 mayat sudah ditemui dan akan dihantar ke Jayapura, bandar utama wilayah Papua.

“Kotak hitam pesawat sudah ditemui dan data kotak itu akan dianalisis secepat mungkin bagi mengetahui punca nahas,” katanya.

Pesawat itu dalam penerbangan dari Jayapura ke sebuah bandar di timur wilayah itu, Oksibil, apbila terputus hubungan kira-kira sembilan minit sebelum dijadualkan mendarat di lapangan terbang Oksibil.

Soelistyo berkata, bangkai pesawat itu berada pada kedudukan 2,600 meter dalam hutan tebal yang menyukarkan usaha membawa keluar mayat mangsa. - AP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...