20 Aug 2015

Anifah nafi menerima sebahagian dari dana RM2.6 bilion



KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan yang mengatakan beliau telah menerima sebahagian dari wang derma politik bernilai RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tidak terima apa-apa dana dari akaun peribadi YAB Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, beliau turut memberi amaran kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang supaya berhenti membuat tuduhan tidak berasas terhadapnya kerana beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya Kit Siang enggan menghentikannya.

"Saya menggesa YB Lim Kit Siang untuk menghentikan sebarang tuduhan salah laku terhadap saya tanpa bukti.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika Lim terus berbuat demikian," kata Anifah lagi.

Media sebelum ini, melaporkan Kit Siang dipetik sebagai berkata, telah menamakan Anifah sebagai antara lapan menteri dan dua timbalan menteri yang menerima sebahagian daripada derma politik berjumlah RM2.6 bilion itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menggesa kesemua menteri dan timbalan menteri itu mengisytiharkan sama ada menerima sebahagian daripada dana tersebut.
 

Bekas PM Korea Selatan masuk penjara kerana dana politik haram

SEOUL: Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Han Myeong-Sook dihukum penjara dua tahun kerana disabitkan kesalahan menerima dana politik secara tidak sah.

Myeong-Sook, 71 tahun merupakan perdana menteri wanita pertama negara itu yang berkhidmat selama setahun bermula pada April 2006.

Pada 2010, beliau dibicarakan atas tuduhan menerima dana secara tidak sah berjumlah 880 juta Won (RM3.1juta) daripada seorangan ahli perniagaan untuk kempen pemilihan presiden pada 2007. Beliau bagaimanapun kalah dalam pemilihan berkenaan.

Myeong-Sook gagal disabitkan kesalahan selepas mahkamah daerah mendapati keterangan ahli perniagaan tersebut sebagai tidak boleh dipercayai. Kes berkenaan kemudiannya dibicarakan di mahkamah tinggi.

Pada 2013, hakim mahkamah tinggi memutuskan Myeong-Sook bersalah dan dihukum penjara dua tahun. Namun bekas perdana menteri itu kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung.

Mahkamah Agung antara lain mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan menolak rayuan Myeong-Sook.
 
"Saya tidak dapat menerima keputusan mahkamah dan tetap dengan pendirian sebagai tidak bersalah," kata Myeong-Sook dalam satu kenyataan susulan keputusan Mahkamah Agung. 
 
 http://www.astroawani.com/berita-dunia/bekas-pm-korea-selatan-masuk-penjara-kerana-dana-politik-haram-70648
 

19 Aug 2015

Di manakah kapsul masa yang ditanam Tun Mahathir di The Mall pada 1987?

KUALA LUMPUR: Tanda tanya ke mana perginya kapsul masa yang ditanam oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed di bangunan The Mall Kuala Lumpur pada tahun 1987 mula tersebar.

Pada 12 Jun 1987, sewaktu merasmikan bangunan pusat membeli-belah tersebut, beliau telah menanam sebuah kapsul masa yang dijadualkan untuk dibuka pada tahun 2087 iaitu 100 tahun akan datang.

Kapsul itu memuatkan coretan serta pesanan mantan perdana menteri itu buat generasi akan datang.

Namun, pusat beli-belah itu tidak bertahan selama yang diharapkan. Selepas 26 tahun beroperasi, The Mall berpindah milik kepada kumpulan syarikat Sunway Berhad berkuatkuasa 1 Mei 2013.

Kerja-kerja menaik taraf bangunan mula dijalankan sejurus termeterai perpindahan milik tersebut.

Pada 28 Mei 2015, Sunway Putra Mall mula diperkenalkan kepada orang ramai.

Hampir tiga dekad berlalu, mungkin ramai yang sudah melupakan kapsul masa tersebut serta persoalan apakah mesej yang terkandung di dalamnya.

Menurut jurucakap pengurusan Sunway Putra Mall, kapsul itu kini selamat tersimpan di pejabat Pengurus Besar bangunan tersebut, lapor portal Berita Daily.

“Kami sedar ia adalah sebahagian daripada sejarah The Mall selain kini bergelar barangan bersejarah. Banyak pihak termasuklah diri saya masih teruja semasa ia mula-mula ditanam dahulu. Pihak kami akan menjaga dan terus memelihara kapsul itu,” ujar jurucakap kumpulan berkenaan.

Daripada perspektif undang-undang dan teknikal, kapsul masa itu kini menjadi hak milik Sunway Putra Mall.

Jurucakap itu turut menambah, pengurusan Sunway Putra Mall tidak mempunyai perancangan untuk mendedahkan kapsul masa itu mahupun kandungannya kepada awam buat masa ini.

Namun begitu, pihak pengurusan memberi jaminan bahawa mesej Tun Mahathir akan tetap disampaikan kepada generasi akan datang menjelang tahun 2087.

Permintaan portal berita itu untuk merakamkan gambar kapsul masa tersebut dan mengetahui lokasinya turut ditolak pihak pengurusan.

Khabarnya terdapat tiga kapsul masa yang ditanam para pemimpin negara 28 tahun dahulu. Selain kapsul masa Tun Mahathir, dua yang lainnya dimuatkan mesej oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (pada ketika itu Menteri Pendidikan Malaysia) dan Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan).


Kedua-duanya ditanam sekitar Bursa Malaysia.

Mahathir juga telah menanam satu lagi kapsul masa di dasar Monumen Millenium di Putrajaya semasa menjawat jawatan Perdana Menteri.

Mesej di dalam kapsul masa itu akan didedahkan kepada umum pada tahun 2020.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...