19 Aug 2015

Trailer 'Goodnight Mommy' dilabel trailer paling seram

Trailer filem dari Austria, Goodnight Mommy, mendapat perhatian warga media sosial sejak dikeluarkan secara rasmi dua minggu lalu. Kebanyakan pemerhati dan peminat filem seram mengklasifikasikan trailer itu sebagai paling seram yang pernah mereka saksikan.

Majoriti komen yang diterima trailer berkenaan berbaur positif dan ramai yang sudah mula tidak sabar untuk menyaksikan filem itu di pawagam.

Filem berdurasi 1 jam 40 minit itu mengisahkan dua beradik kembar (dilakonkan oleh Lucas dan Elias Schwarz) yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan ibu mereka (Susanne Wuest) selepas menjalani satu pembedahan di bahagian wajahnya.

Si ibu tampak sering menjauhkan diri dan ia membuatkan dua beradik itu merasa terasing daripada ibu sendiri. Situasi menjadi semakin pelik apabila mereka menemui sekeping gambar ibu mereka bersama seorang wanita lain yang seiras, selain tingkah laku si ibu yang bagaikan dirasuk.

Filem itu akan ditayangkan di Amerika Syarikat pada 11 September ini.

Mayat rentung, pesawat terbakar

Jayapura: Tiada seorang pun daripada 49 penumpang dan lima anak kapal pesawat ATR42-300 milik Trigana Air Service terselamat selepas pesawat itu musnah kerana melanggar gunung di timur Papua.

Pasukan penyelamat yang sampai ke lokasi nahas lewat pagi tadi melalui laluan darat mendapati pesawat berkenaan berkecai dan ada kesan terbakar.

Pengarah Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesi, Henry Bambang Soelistyo, berkata pesawat itu musnah sepenuhnya manakala mayat terbakar menyebabkan ia sukar dikenal pasti.

“Berdasarkan keadaan itu tiada peluang sesiapa pun terselamat,” katanya.

Menurutnya, semua 53 mayat sudah ditemui dan akan dihantar ke Jayapura, bandar utama wilayah Papua.

“Kotak hitam pesawat sudah ditemui dan data kotak itu akan dianalisis secepat mungkin bagi mengetahui punca nahas,” katanya.

Pesawat itu dalam penerbangan dari Jayapura ke sebuah bandar di timur wilayah itu, Oksibil, apbila terputus hubungan kira-kira sembilan minit sebelum dijadualkan mendarat di lapangan terbang Oksibil.

Soelistyo berkata, bangkai pesawat itu berada pada kedudukan 2,600 meter dalam hutan tebal yang menyukarkan usaha membawa keluar mayat mangsa. - AP

Pesawat Singapore Airlines dirempuh burung

Singapura: Pesawat Singapore Airlines SQ391 terpaksa berpatah balik ke Istanbul selepas dilanggar burung ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Turki untuk ke Singapura, semalam.

Menurut laporan Channel News Asia hari ini, pesawat yang membawa 255 penumpang dan 14 anak kapal bagaimanapun selamat mendarat secara biasa di lapangan terbang itu.

Pesawat Boeing 777-200 itu dijadualkan berlepas dari Istanbul ke Singapura pada 1.30 petang Isnin (waktu Istanbul) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, 5 pagi tadi.

"Singapore Airlines membuat perancangan bagi penumpang untuk menaiki penerbangan lain atau ditempatkan di hotel," kata jurucakap syarikat penerbangan itu.

"Jurutera kami kini sedang menilai tahap kerosakan akibat kejadian ini," katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...