9 Sept 2015

Reputasi Malaysia semakin tercalar gara-gara kebiadaban penyokong sendiri


REPUTASI Malaysia dalam peta bola sepak dunia semakin tercalar gara-gara tindakan biadap penyokong sendiri di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Perlawanan di antara Malaysia dengan Arab Saudi dalam Kelayakan Piala Dunia 2018 terpaksa dihentikan ketika pelawat mendahului perlawanan 2-1.

Semuanya bermula apabila kumpulan penyokong yang dikenali sebagai Ultras Malaya mula membakar suar, bom asap, mercun, merosakkan kerusi dan membalingnya ke dalam padang pada minit ke-84.

Sebelum itu, kehadiran Ultras Malaya dikesan mula berkumpul pada minit ke-40.

Situasi ini memaksa pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man menghentikan seketika perlawanan pada minit ke-88.

Keadaan penyokong di bahagian curva semakin tidak terkawal selepas tembakan mercun dilepaskan dan hampir mengenai pemain Malaysia yang ketika itu sedang berkumpul berdekatan bangku simpanan.

Disebabkan itu pengadil mengarahkan kedua-dua pasukan masuk berlindung di dalam bilik persalinan.

Namun situasi masih belum reda dan mercun pula ditembak ke arah lebih 1,000 penyokong Arab Saudi yang kebanyakannya membawa kanak-kanak. Tidak lama kemudian mereka diarah keluar dari stadium.

Difahamkan, seramai 530 anggota keselamatan ditugaskan malam tadi.

Ketika Ong Kim Swee menjadi pemangku jurulatih pada Mac 2014, kejadian serupa turut tercetus di Stadium Majlis Perbandaran Selayang ketika melibatkan perlawanan Harimau Malaya dengan Filipina.

Setakat jam 11.30 malam Selasa, tiada pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menjelaskan apa tindakan susulan untuk perlawanan ini.

Isteri dedah permintaan terakhir Allahyarham Harun Salim Bachik



Isteri kepada pelawak Allahyarham Harun Salim Bachik, Suriati Mohd Nor menjelaskan suaminya ada membuat permintaan yang terakhir sebelum disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas bulan Mac yang lalu.

Menurut Suriati, arwah Harun Salim Bachik kuat makan dan sempat membuat permintaan hanya mahu makan masakan isterinya sahaja.

“Apa yang saya ingat, Allahyarham agak berselera untuk makan sehingga saya sempat bergurau seronoknya tidak perlu masak di rumah. Hari-hari kami sekeluarga boleh makan di luar.

“Tetapi arwah tidak mahu makan di luar, dia mahu makanan yang dimasak oleh saya sendiri,” jawab Suriati sewaktu majlis doa selamat Allahyarham Harun Salim Bachik di Surau Al-Mutmainnal, Kuala Lumpur.

Tambah Suriati, ramai di kalangan rakan dan peminat tidak tahu Allahyarham Harun Salim Bachik seringkali terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

“Ramai yang ingat arwah Abang Harun sihat walafiat, hakikatnya dia seringkali terpaksa lakukan rawatan lanjut di hospital kerana penyakkit asma yang kronik. Kadang-kadang dia terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan tetapi dia tidak suka kami war-warkan kepada umum.

“Jika dia kena tahan di hospital, arwah suka sangat lari dan tidak mahu tinggal lama di hospital kerana tidak mahu terlalu memikirkan soal sakit,” ujar Suriati.

Jelas Suriati lagi, semenjak ketiadaan Allahyarham suaminya mereka memberi kesan mendalam terhadap mereka sekeluarga.

“Sejak pemergian Allahyarham Harun Salim Bachik, ianya memberi kesan kepada kami sekeluarga sehingga kami bakal berpindah balik ke kampung di Kedah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Suriati turut mengakui Allahyarham cukup teruja dan sering berkongsi perasaan seronoknya di Facebook mengenai filem terakhir lakonannya, Polis Evo.

“Arwah Abang Harun sangat teruja dan seronok apabila bercerita mengenai filem Polis Evo kerana dia berpeluang untuk memegang watak seorang anggota polis berpangkat besar dalam institusi kepolisan negara.

“Malah dia ada berkongsi pelbagai cerita mengenai filem tersebut menerusi laman Facebook miliknya,” jelasnya lagi mengakhiri perbualan.

Allahyarham Harun Salim Bachik meninggal dunia dipercayai mengalami sesak nafas ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol (Selatan), Perak pada 8 Mac yang lalu.

Filem Polis Evo merupakan naskah terakhir Harun Salim Bachik sebelum beliau pergi buat selamanya. Menerusi filem arahan Ghaz Abu Bakar, Allahyarham Harun Salim Bachik memegang watak sebagai ASP Mokthar yang bertugas di negeri Terengganu.

3 Sept 2015

APMM Sarawak tahan empat bot, 35 nelayan asing

KUCHING: Op Orion Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menahan empat bot dan 35 nelayan warga Thailand dan Vietnam sepanjang empat hari operasi, bermula 28 Ogos lalu.

Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Sarawak (Wilsar), Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata tiga bot nelayan itu milik rakyat tempatan manakala sebuah lagi milik nelayan Vietnam.

Menurutnya APMM menggunakan lapan kapal dalam operasi itu, termasuk KM Marlin dan KM Satria dari APMM Lumut, sebuah pesawat Bombardier dari Stesen Udara Maritim Subang dengan kekuatan 140 anggota.

"Pada 28 Ogos, kapal KM Cekal menahan sebuah bot nelayan pada kedudukan 130 batu nautika dari Tanjung Sirik dan menahan lapan warga Thailand.

"Pada hari yang sama, kapal KM Bijak menahan sebuah bot dan menahan sembilan warga Thai termasuk tekong," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismaili berkata kedua-dua bot nelayan tempatan itu ditahan kerana melakukan kesalahan syarat sah lesen mengikut Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, pada 29 Ogos lepas, KM Marlin menahan sebuah bot nelayan asing dari Vietnam kira-kira 63 batu nautika dari Tanjung Sirik serta menahan sembilan nelayan rakyat negara itu.

"Pada hari keempat operasi, KM Rhu pula berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan di Tanjung Payung bersama sembilan nelayan warga Thai.

Beliau berkata, kedua-dua bot nelayan itu ditahan kerana melanggar syarat lesen bot mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya, Op Orion itu bertujuan membanteras serta menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan Sarawak, isu yang diberi perhatian serius oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.


"Bagi tempoh Januari hingga semalam, APMM Wilsar berjaya membuat 54 tangkapan.

"Daripada jumlah itu, 11 kes telah selesai dengan jumlah kompaun RM24,800 dan jumlah lelongan sebanyak RM26,012, manakala lelongan minyak sebanyak RM10,780," katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...